Program Motivasi Kendiri As-Sufi

26 Mac 2011

Jam 7.00 malam bertempat di Sekolah Kebangsaan Jementah telah berlangsungnya suatu program Motivasi Kendiri As-Sufi untuk murid-murid tahun 6 2011. Program ini telah dikendalikan oleh Ustaz Abdullah bin Hamad yang juga Pengurus kepada As-Sufi Consultant, Muar. Dan selepas selesai saja solat maghrib diadakan pula bacaan yaasin.

Selepas solat isyak, diadakan pula solat hajat memohon kepada Allah agar semua calon-calon UPSR pada tahun ini diberikan hidayah serta petunjuk serta terang hatinya bagi menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September nanti.

Kehadiran ibubapa pada kali ini amatlah menggalakkan. Semoga usaha murni pihak sekolah didalam menjayakan program ini mendapat keberkatan daripada yang Maha Esa.

Sambutan Maulidur Rasul

19 Mac 2011
Program sambutan maulidur rasul telah diadakan di Surau Kg. Kubu Dedap, Jementah. Rasanya masih belum terlewat untuk menyambut program yang setiap tahun diadakan ini bertujuan bagi memperingati hari keputeraan junjugan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sebelum ceramah dimulakan bacaan selawat telah diketuai oleh Tuan Imam Hj. Md Sabilan bin Hj. Saidun.

Penceramah undangan pada kali ini ialah Ustaz Haji Norizam bin Suradi daripada Felda Kemelah, Segamat. Begitu banyak panduan serta pengajaran yang telah disampaikan oleh beliau pada majlis tersebut dan beliau meminta kepada semua sekelian yang hadir agar mengetahui makna bacaan surah Al-Fatihah supaya solat kita menjadi lebih khusyuk dan sempurna. Program tersebut telah tamat pada jam 11.00 malam. Mudah-mudahan kita semua mendapat pedoman serta rahmatNya daripada apa yang telah disampaikan oleh tuan penceramah tersebut. InsyaALLAH.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada mereka yang telah membuat persiapan bagi menjayakan program yang seumpama ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian semua. Amin…

Mak Mertua Masuk Wad

04 Mac 2011

Hari nie aku dan Halim (adik ipar) ambil cuti kerana hendak menghantar mak mertua ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk mendapatkan rawatan kecemasan kerana menghidap sakit kencing manis.

Jam 10.30 pagi tiba di bahagian kecemasan HPSF, Muar dan doktor yang merawatnya memberitahu luka dikakinya telah mencapai tahap serius dan bacaan gula dalam darahnya pula ialah 17.9 (normal 5 – 6) dan bacaannya sering turun naik tidak stabil. Doktor mengarahkan perlu dilakukan x-ray di kedua-dua belah kakinya kerana dikhuatiri kuman telah menyerang hingga ke tulang. Selepas di x-ray doktor telah mengarahkan supaya mak mertua di masukkan ke Wad 6, HPSF, Muar.

Pembedahan telah dilakukan pada hari keenam tinggal di wad dan 1 pain darah telah dimasukkan kerana kandungan darahnya tidak mencukupi iaitu 8.5 (normal 12). Pembedahan telah dilakukan di kakinya untuk membuang daging yang telah rosak. Hampir 2 ½ jam kami semua adik-beradik menunggu akhirnya mak mertua pun keluar daripada bilik bedah dan kami dapati kedua-dua belah kakinya telah berbalut dan ini keadaan ini amat menyukarkan untuk dia berjalan.

Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai yang sudi datang ziarah mak mertua di HPSF, Muar dan juga atas sumbangan yang telah diberikan hanya Allah saja yang dapat membalas jasa baik kalian semua.