Mini Konvensyen ICC

19 April 2011
Mini Konvensyen ICC 2011 Wilayah Selatan anjuran MPC telah diadakan di Bunga Raya Ballroom II, Hotel Renaissance, Melaka. Sebanyak 29 kumpulan yang terdiri daripada sektor swasta dan kerajaan telah mempersembahkan projek masing-masing.

Ucapan pembukaan telah dirasmikan oleh En. Zainudin b. Hj. Elias iaitu Pengarah MPC (Perbadanan Produktiviti Malaysia) Wilayah Selatan. Di akhir pertandingan tersebut, En. Ahmad Faizal bin Ahmad yang merupakan Ketua Panel Penilai MPC memberitahu kepada semua peserta kumpulan, jika banyak soalan yang ditanya semasa persembahan bermakna hakim akan memberikan markah lebih kepada kumpulan tersebut dan sebaliknya jika tiada soalan langsung ini bermakna hakim tidak faham projek yang dipersembahkan.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dato' Hj. Naim b. Abu Bakar (Pegawai Kewangan Negeri Melaka) bagi menggantikan Y.B Datuk Wira Omar b. Kaseh (Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka) yang tidak dapat hadir kerana ada urusan rasmi yang lain.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Taman Dedap

16 April 2011

Jam 8.30 pagi kami semua telah berkumpul di balai yang telah didirikan untuk bergotong royong rewang masak memasak untuk majlis sambutan maulidur rasul peringkat taman ini.

Pada sebelah malam iaitu sebelum majlis sambutan dimulakan bacaan doa dan selawat telah diketuai oleh Ustaz Idris b. Ismail. Selepas itu diikuti pula ucapan alu-aluan oleh Pengerusi taman ini iaitu Cikgu Azni bin Ismail. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk taman tidak kira penghuni tetap ataupun penyewa yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program sambutan pada kali ini.

Ceramah sambutan pada kali ini telah disampaikan oleh Ustaz Wan Sharifudin bin Wan Hassan daripada Sekolah Menengah Agama Khairiah Gubah, Segamat. Mudah-mudahan apa yang telah disampaikan oleh tuan penceramah dapat dijadikan iktibar oleh kami semua penduduk taman supaya kehidupan kita lebih sejahtera dimasa akan datang.

Majlis telah selesai pada jam 11.00 malam.

Gotong Royong

02 April 2011

Jam 8.00 pagi semua penduduk Taman Dedap telah berkumpul untuk melakukan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan taman. Setiap keluarga membawa kuih-muih bagi tujuan jamuan ringan sebelum dan selepas aktiviti dijalankan. Aktiviti ini juga telah disertai oleh beberapa kakitangan daripada pejabat Majlis Daerah Segamat yang telah sama-sama membantu kami semua.

Alhamdulillah, pada kali ini begitu ramai penghuni taman ini menyertai gotong-royong ini tidak kira penduduk tetap ataupun penyewa telah sama-sama berganding bahu melakukannya demi mengindahkan serta menceriakan sekitar kawasan taman ini.

Majlis Dailog UPSR Siri 1

01 April 2011

Jam 8.00 malam semua ibubapa pelajar calon UPSR 2011 hadir di Dewan SK Jementah. Guru Besar, Puan Halizah bte Ma'arof dalam ucapannya menyatakan bahawa tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi maklum balas serta pendedahan kepada ibubapa mengenai prestasi anak-anak mereka dalam UPPM 1. Beliau juga menyatakan Guru-guru yang mengajar tahun 6, ibu bapa dan calon UPSR dapat duduk semeja berbincang bersama-sama mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik anak-anak mereka.

Pada pendapat aku, program ini dapat menjalinkan hubungan yang baik antara ibu bapa dan guru-guru demi kecemerlangan dan kejayaan murid-murid. Disamping itu juga dapat meningkatkan keyakikan diri dan semangat murid-murud untuk melakukan yang terbaik dalam akademik.

Pihak sekolah juga berharap semua calon UPSR tahun ini dapat mencapai keputusan yang cemerlang pada peperiksaan tersebut.