Solat Hajat Perdana

08 September 2011

Pada sebelah malam pula menghadiri Majlis Solat Hajat Perdana bagi Zon Jementah untuk calon-calon UPSR, PMR & SPM 2011 di Masjid Jamek Bandar Jementah.

Kelihatan ramai ibubapa serta guru yang turut hadir bagi sama-sama mendokan serta memohon kepada Allah agar anak mereka diberikan kelapangan fikiran semasa menjawab semua soalan sewaktu peperiksaan kelak. Sebelum solat hajat telah diadakan motivasi yang telah disampaikan oleh En. Ali Saifuddin daripada Segamat. Banyak nasihat serta tunjuk ajar yang boleh dijadikan panduan serta pedoman kepada calon2 sekelian.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan serta jawatankuasa masjid jementah kerana telah menganjurkan program yang saban tahun diadakan ini.

Kunjungan Aidil - Fitri

07 September 2011
 

Malam ini kami sekeluarga begitu terharu sekali (terutamanya mak) kerana menerima tetamu aidil fitri daripada Indonesia (saudara sebelah arwah nenek). Mereka berkunjung ke sini dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan kekeluargaan yang telah terpisah sejak sekian lama kerana arwah nenek datang ke Malaysia pada tahun 1938.

Walaupun jauh beribu batu namun pak cik (imam hj. hussin) kerap mengutus surat ataupun menghubungi melalui telefon untuk bertanyakan khabar antara satu sama lain. Pada awal tahun ini iaitu pada bulan februari yang lepas beliau telah pergi ke Indonesia untuk bertemu dengan semua kaum keluarga di sana. Dan mereka berjanji akan datang ke Malaysia pada hari raya aidil fitri ini untuk menemui saudara mara di sini.

Tazkirah

06 September 2011

Pada petang ini di PTDI telah diadakan tazkirah mengenai kesempurnaan solat serta perkara-perkara yang membatalkan solat yang telah disampaikan oleh Ustaz Zaki daripada Unit Kefahaman Islam, UiTM Johor.

Banyak perkara yang telah di sentuh oleh Ustaz Zaki dan banyak juga soalan yang telah dikemukakan.

Program tazkirah ini amat baik sekali kerana banyak perkara yang dapat dimanfaatkan oleh semua warga PTDI.

Semoga kita semua mendapat manfaat dari apa yang telah disampaikan oleh ustaz.

Selamat Hari Raya Aidil-Fitri

29 Ogos 2011

Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera

Segala puji bagi Allah yang mentadbir seluruh alam... Semoga Allah merahmati seluruh umat Islam di muka bumi ini yang bakal meraikan hari kemenangan Syawal esok..

Ramadhan akan kita tinggalkan,
Hampir menjelma syawal mulia,
Aidilfitri berbahang terasa,
Disambut dengan rasa gembira.


Biarlah dalam kita bergembira menyambut kedatangan Syawal pada kali ini, kita tak lupa kepada golongan yang miskin dan memerlukan...

Berhati-hati di jalanraya semoga selamat sampai ke destinasi.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin. Ikhlas daripada : Roslan & Keluarga.

Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya

20 Ogos 2011

Pada pagi sabtu bulan ramadhan yang mulia ini telah berlangsungnya suatu majlis penyampaian sumbangan hariraya kepada ibu-ibu tunggal & warga emas di sekitar DUN Jementah. Majlis yang saban tahun diadakan ini adalah anjuran pihak KEMAS, Jementah dan juga gabungan daripada Jabatan Hal Ehwal Wanita, Daerah Segamat (JASA).

Semua sumbangan telah disampaikan oleh Puan Hjh. Puspa Hairani bte. Hj.Hassan (Ketua Wanita UMNO, Bahagian Segamat).

Pada majlis tersebut, seramai 40 orang telah menerima sumbangan yang berupa barangan keperluan dapur bagi meraikan hari raya aidil-fitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Syukur alhamdulillah, majlis ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan. Semoga program yang seperti ini dapat diadakan lagi pada tahun yang akan datang. InsyaAllah.