Bengkel Pengurusan Jenazah

24 Mei 2010

Aku telah menghadiri amali pengendalian jenazah di Masjid As-Syakirin bersama rakan sekerja anjuran Unit Kemajuan Islam, UiTM Johor. Penceramah bagi peserta lelaki ialah Ustaz Sungngachee bin Illias. Beliau adalah seorang bilal di Masjid Jamik, Segamat. Ustaz Sungngachee juga pernah menguruskan jenazah arwah ayahku pada tahun 2002 di Hospital Segamat. Manakala penceramah bagi peserta wanita pula ialah Puan Kasminah bte Selamat daripada Pejabat Agama Segamat.

Para peserta telah ditunjukkan tentang cara-cara memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan seterusnya mengkebumikan jenazah. Salah seorang peserta iaitu Saudara Syazali Effendi telah dengan rela hati untuk menjadi "pelakon utama" supaya para peserta mudah memahami kaedah tersebut.

Pada sebelah petangnya ceramah bertajuk ‘Pengurusan Jenazah Dalam Islam’ telah disampaikan oleh Ustaz Norizam bin Suradi daripada Pejabat Agama Daerah Segamat.

Banyak sekali ilmu pengetahuan yang telah dapat aku pelajari daripada bengkel ini dan aku rasa program yang seperti ini perlu untuk dihadiri oleh rakan-rakan yang lain kerana ianya amat bermanafaat juga merupakan tuntutan fardhu kifayah kepada kita semua sebagai umat islam.

Selamat Hari Ibu

09 Mei 2010




Selamat Hari Ibu kepada ibu anak-anakku. Tabahkan hati dan kuatkan iman melayani karenah anak-anak kita (adik, abang & kakak).

Sempena hari ibu ini aku terkenangkan arwah ibuku yang sudah lama pergi menemui Illahi pada tahun 1972 lagi. Waktu itu umurku baru 5 tahun dan adik perempuanku berumur 3 tahun. Sejak itu kami 2 beradik telah dipelihara oleh nenek yang ku panggil emak hinggalah sekarang (menitis airmataku mengenangkan ini semua).

Namun aku tetap redha dengan ketentuan Illahi. Semoga ibu bahagia di sana dan beroleh keampunan serta kerahmatan Allah S.W.T.

Amin.

Nota: Kalau anda masih ada ibu atau bapa, lawatilah mereka selalu dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kita semasa kecil.

Daftar Haji

04 Mei 2010

Syukur pada Allah kerana pada hari ini terbuka pintu hati kami berdua untuk mendaftar haji. Sebenarnya memang dah lama kami nak mendaftar haji tapi sekadar angan-angan kosong manakala simpanan pulak asyik keluar masuk aje.

Tapi hari ini aku memang betul-betul berniat untuk mendaftar. Alhamdulillah niat kami berdua telah dimakbulkan oleh Allah Taala tanpa sebarang halangan.

Mengikut notis yang aku baca dikaunter TH giliran kami pergi ke tanah suci ialah pada tahun 2032 bermaksud kami perlu menunggu selama 22 tahun dari sekarang. (masa tu umur kami telah menjangkau 64 tahun) tapi aku target pulak masa pencen umur 58 tahun nak pergi ke tanah suci.

Mudah-mudahan rancangan kami berdua ini di kabulkan oleh Allah.

Ya Allah permudahkanlah segala urusan kami samaada urusan dunia mahupun urusan akhirat.

Amin.

Ulangtahun Kelahiran

02 Mei 2010

Lahirnya pada 01 Mei 1968 jam 10.50 a.m. Maka pada hari ini genaplah usia isteriku
42 tahun. Sepatutnya disambut pada 01 Mei tapi oleh kerana pada tarikh tersebut ada majlis maulidur rasul di taman kami, jadi terpaksalah di tangguhkan pada keesokkan harinya.

Bacaan doa selamat telah dibacakan oleh ayahnda Tuan Hj. A Rahman bin Hj. Sulaiman.

Aku juga bermohon padaMu Ya Allah semoga isteriku ini di kurniakan kesihatan yang baik serta dijauhkan daripada sebarang penyakit.

Terima kasih Ya Allah atas setiap rezeki yang telah dikurniakan kepada kami sekeluarga.

Sesungguhnya terlalu banyak yang Engkau telah berikan kepada kami sekeluarga…tetapi terlalu sedikit pengabdian kami terhadapMu Ya Allah.

Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah ditentukan untuk kami sekeluarga.

Program Maulidur Rasul

01 Mei 2010
Bermula jam 9.00 pagi kami semua telah mula gotong royong memasak sempena menyambut program maulidur rasul peringkat Taman Dedap, Jementah.

Rasanya masih belum ketinggalan walaupun sekarang dah masuk bulan Jamadil Awal namun majlis tersebut tetap meriah dan mendapat sambutan di kalangan penduduk di sini untuk sama2 meraikan majlis memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Pada sebelah malam sebelum majlis dimulakan pengerusi Persatuan Taman Dedap iaitu En. Azni bin Ismail telah menyampaikan kata2 aluan sebagai pembuka bicara. Beliau telah mengucapkan tahniah kepada semua penduduk taman ini kerana telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini.

Bacaan doa pula telah dibacakan oleh Tuan Haji Husin bin Md Musis selaku Imam Masjid Kg. Sungai Siput dan diikuti pula dengan bacaan selawat dan marhaban beramai-ramai.

Penceramah jemputan pada kali ini ialah Al-Fadhil Ustaz Haji Omar bin Abdullah. Aku telah mengenali beliau semenjak dari tahun 1992 lagi hinggalah sekarang. Beliau merupakan seorang penceramah bebas dari bandar Segamat yang diundang khas untuk menyampaikan ceramah pada majlis tersebut. Banyak pengajaran yang telah disampaikan oleh penceramah tersebut. Semoga kami semua penduduk taman ini mendapat petunjuk dan hidayahNya serta dijauhkan daripada segala bencana.

Mudah-mudahan di tahun hadapan kami dapat menganjurkan program yang seperti ini lagi.

InsyaALLAH.