Majlis Perpisahan Bekas Pengarah

09 Ogos 2011

Pada hari ini aku telah di minta oleh boss tempat aku bekerja untuk membacakan doa perpisahan untuk bekas pengarah UiTM Johor iaitu Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Bin Hj. Ibrahim dan isterinya Puan Hjh. Raudzah binti Hj. Roslan yang akan berpindah ke Universiti Tayyibah, Madinah. Inilah doa yang aku baca sebentar tadi:

Ya Allah
Pada saat dan detik yang bersejarah ini kami menghulurkan tangan memohon ihsan dan rahmatMu agar anugerahkanlah kesejahteraan, taufik dan hidayahNya kepada Yang Berbahagia Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Bin Hj. Ibrahim dan Puan Hjh. Raudzah binti Hj. Roslan, insan yang akan berpisah dengan kami. Kami sedar bahawa setiap pertemuan itu ada perpisahannya dan ada hikmah di sebaliknya kerana semuanya adalah ketentuan dan takdir yang telah ditentukan olehMu.

Ya Allah
Kurniakanlah ganjaran, syafaat dan keredhaanMu di atas segala jasa-jasa baik beliau yang telah dicurahkan kepada kami seluruh warga UiTM Johor. Begitu jua Ya Allah di atas semangat juang beliau yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai pemimpin yang sentiasa berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran beliau semasa mentadbir UiTM Johor.

Ya Allah
Kami memohon kepadaMu agar kurniakanlah kepada insan yang diraikan pada hari ini, kesihatan yang berpanjangan dan rezeki yang melimpah ruah serta mereka dapat menikmati kehidupan di tempat baru dalam keadaan damai dan sentosa. Ya Allah janganlah dihampakan segala hajat dan impian kami. Hanya padaMu tempat kami berharap dan hanya padaMu jua yang dapat mengabulkan segala permintaan hambaMu.

Amin Ya Robbal Alamin.

No comments: